Apa anda rasa kalau anda dengar ada orang berkata bahawa Bani Israil yang menyembah lembu di zaman Nabi Musa A.S adalah kalangan mereka yang benar tauhidnya? Mereka tidak melakukan kesalahan apa-apa kerana menyembah lembu! Bahkan mereka adalah orang benar akidahnya dan lurus tauhidnya!
Sementara, kemarahan Musa, bukan kepada penyembah lembu tetapi kepada Harun yang mengengkari aktiviti menyembah lembu itu!
Adapun Firaun pula dikatakan sebagai Arif Billah yang paling utama! Dakwaannya sebagai Tuhan adalah benar dan tidak ada salahnya! Tatkala Firaun mengatakan "Ana Rabbukumul A'la" , ketika itu dia adalah raja teragung dalam Mesir. Dia ada Sahibuzzaman atau disebutkan Sahibl Waqt (Tuan punya waktu). Konsep ini ada dalam Syiah apabila mereka menyifatkan Imam mahdi sebagai Sahibul Wakti (tuan punya masa) yang kita sedang tinggal ini, Istilah Sahibuzzaman ini juga pernah ditempel kepada Abuya Asha'ari oleh para pentaksubnya. Jika anda cermati, di kalangan mereka yang percaya kepada maratib para wali, mereka juga meletakkan wali sipolan itu sebagai Sahibuzzaman.
Maka, Firaun itu hakikatnya Wali Allah. Itulah alam batin. Miski di alam Zahir dia adalah seorang Jabbar. Kerana dia Sahibul Waktu maka dia mengaku Tuhan paling tinggi. Rabbukumul A'la. Semua adalah Tuhan tetapi Firaun adalah Tuhan paling utama. Inilah ciri wehdatul wujud.
Kerana itulah, para ahli sihirnya dengan kata mereka:
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ
Maka di waktu itu sememangnya Firaun adalah Ainul Haq dan dia mengaku dirinya Tuhan kerana melihat dirinya Ainul Haq! Dialah Allah tuhan seru sekalian alam!
Apa anda rasa kalau anda dengar orang beritahu anda begitu??
Anda , jika tidak tahu apa-apa kalam-kalam di atas, akan terperangah dan terkesima. Antara dua, anda merasa kagum dengan ilmu baru yang anda dengar. Atau anda akan tertanya-tanya, apakah ianya memang lontara buah fikir orang Islam atau kafir?
Apakah ada orang yang berkata demikian? Apakah orang itu Islam atau kafir?
Ya...ada . Perkataan yang sedemikian ada dan diucapkan dalam bentuk nukilan dalam kitab karya seseorang. Siapa pernah dengar Ibn Arabi dan kitabnya Al-Fusus dan Futuhat Al-Makkiyyah? Dialah orang yang di kalangan yang mengaku Ahli Sufi dianggap sebagai Syaikhul Akbar dan juga Kibritul Ahmar!
Penyembah patung anak lembu bertauhid dengan tauhid yang tahap tinggi. Nabi Harun pun tak faham. Sebab itu dia mengengkari. Nak kata Nabi Musa tak faham juga, nanti nampak teruk sangat. Maka dibuat cerita dan ditakwilkan ayat Quran dengan mengatakan bahawa yang Nabi Musa marah dan cela bukan para penyembah lembu tetapi adalah Nabi Harun kerana gagal memahami ketinggian tauhid para penyembah patung anak lembu! Lalu, disambung cerita kononnya, kerana itulah Samiri tidak diapa-apakan.
Firaun yang sedemikian banyak ayat Quran menceritakan kekufuran serta kesombongannya pun dipulaskilas hingga dikatakan beriman dengan iman yang berpaksi tauhid maqam tinggi. Tidakkah anda rasa hairan bagaimana akal orang ini begitu pintar memusingkan dalil?
Manusiakah dia atau sebenarnya jelmaan Azazil?
Jika anda pernah dengar yang lebih mengherankan akal fikir. Didakwa pula bahawa Iblis adalah Sayyidul Muwahhidin iaitu penghulu segala orang yang bertauhid. Bagaimana kesimpulan itu dibuat? Ianya kerana ketika Allah suruh malaikat sujud kepada Adam, para malaikat sujud semua. Kecuali Iblis yang enggan dan dia tidak mahu sujud kepada Adam. Dia hanya sujud kepada Allah! Dia sungguh murni tauhidnya!
Demikian putar belit centang pranang kalam orang-orang yang dianggap makam tinggi. Orang yang karam dalam Wehdatul Wujud!
Baca: https://www.islamweb.net
No comments:
Post a Comment