Saturday, December 31, 2022

Fitnah Ibn Al-Qusyairi

Mula terjadi pada Syawal tahun 469H

Anak kepada Abdul Kari Al-Qusyairi, tokoh sufi yang terkenal ,  bernama Abu Nasir Abdurrahim bin Abu Al-Qasim Abdul Karim Al-Qusyairi (439-414H).

Dia berguru dengan ayahnya sehingga sangat menyerupai keilmuan ayahnya. Bak kata orang, bapa borek, anak rintik. Beliau melazimi Imam Al-Haramain iaitu Abu Al-Ma'ali Al-Juwaini.

Pada masa hidupnya, telah berlaku satu peristiwa yang disebut sebagai peristiwa Fitnah Ibn Al-Qusyairi.

Beliau tinggal di Nisabur. Satu ketika dalam perjalanan haji, singgah di baghdad. Di Baghdad, Mazhab Hambali dominan. Tokoh besar mazhab Hambali waktu itu ialah Syarif Abu Ja'far bin Abu Musa. 

Maka, Abu Nasir Ibn Al-Qusairi yang datang dari Nisbur mengajar di Madrasah Nizomiyyah dan membela mazhab Asy'ari dan menyerang serta mencela mazhab Hanabilah dan melebelkan Hanabilah sebagai Tajsim.

Sebenarnya api panas dalam hubungan antara Asyairah dengan Hanbalah telah bermula lebih awal lagi. Dekan Madrasah Nizomiyahyang bernama Abdul Malik Al-Kandari (Meninggal tahun 415H) pernah mengarahkan agar dilaknat para ahli bid'ah atas membar-membar dan disebutkan keika Asyairah sebagai salah satu golongan ahli bid'ah.

Adapun dalam madrasah Nizomiyyah di Bagdad, para gurunya banyak bermazhab Syafie yang menisbahkan diri kepada Asya'ari. Antaranya Abu Ishak As-Syirazi

Ia adalah satu peristiwa persengketaan antara Mazhab Asya 'irah dengan Hanabilah.

Persengketaan ini membawa kepada pergaduhan bersenjata.

ia dapat dihentikan apabila khalifah camputangan, Dia memerintahkan wazirnya unuk menjemput pihak-pihak yang bergaduh  dan dapat diselesaikan apabila Abu Nasir Al-Qusyairi diperintahkan balik ke negrinya dan tinggal di sana (Nisabur)

Abu Nasir meninggal di Nisabur pada 28 Jamadil Akhir 514H pada usia 80 tahun.


Bacaan: Fitnah Ibn Qusyairi

Al-Qusyairi seorang ahli Tasawwuf yang di atas jalan kebenaran

Beliau adalah Abdul Karim bin Hawazin bin Abdul Malik bin Talhah bin Muhammad Al-Qusyairi dan diberi kinayah dengan panggilan Abu Al-Qasim. Digelar dengan gelaran Zainul Islam atau Jamaluddin. Belua merupakah tokoh ulama yang disegani pada zamannya serta tokoh ulama dalam mazhab Syafie. Beliau juga adalah seorang imam dalam dunia tasawwuf. Beliau jadi dambaan masyarakat dalam mempelajaran ilmu fekah, tafsir, hadis, usul, adab, syair, penulisan dan tasawwuf.

Karyanya yang terkenal adalah Risalah Al-Qusyairiyyah yang memperkatakan mengenai ilmu tasawwuf.


Al-Qusyairi meninggal pada tahun 465H pada umur 89 tahun


KEPINCANGAN TASAWWUF

Menurut Abdurrahman Al-Khaliq dalam kitabnya, Fadhaih As-Suffiyyah, Tasawwuf adalah sebuah lautan yang bergenangan dengan kumbahan kotor. Dalamnya terkumpul segala macam kekufuran dan zindik yang ada dalam falsafah hindu,  Majusi dan Yunani. Dalamnya ada tipudaya Qoramitah dan puak-puak Batiniyyah, khurafat para ahli kurafat, penipuan para dajjal dan juga aneka macam wahyu kesyaitanan. Semua itu boleh dilihat dalam perkembangan Tasawwf, ilmunya, prinsipnya dan kasyafnya. Apa sahaja akidah kufur yang kau gambarkan dalam zihinmu, kau akan temui dalam dunia tasawwuf bermula daripada menisbahkan ketuhanan (Uluhiyyah) kepada makhluk hinggalah menjadikan makhluk sebagai "Ain" Allah yang maha Satu. 

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh Abdurrahman Al-Khaliq setelah beliau mengkaji ilmu tasawwuf dan pemikiran ahi sufi  yang berkembang dalam sejarah Islam. Tentu rumusan beliau ini menyakitkan dan menimbulkan kegalauan yang sangat memanikkan bagi pencinta ilmu tasawwuf. 

Namun, jika tasawwuf yang kita fahami dalam kerangka para salafus soleh, ia tentu tidak termasuk dalam apa yang digambar dan disimpulkan oleh penulis kitab ini. Tasawwuf dalam bentuk tazkiyatunnafsi, membina jati diri yang kuat menghadapi pesona dunia serta bertekhalluq dan akhlak yang mulia. Tanpa filsafat tasawwuf, ilmu tasawwuf adalah ilmu yang mulia dan suci. Ilmu para nabi dan salafus soleh.

Hanya disayangkan, telah datang walijah yang mencemarkan keseluruhan tasawwuf hingga sukarlah menyuluh kejernihan jalan Rasul dan Salafus Soleh dalam kesufian pada hari ini.

Kita ringkaskan beberapa hujahan beliau dalam kitabnya tersebut dan kita fikirkan. Kita buang ketaksuban  firqah dan carilah kebenaran :

Beliau menyenaraikan perbezaan antara Islam dengan tasawwuf:

1) Sumber Islam dalam akidah dan syariat adalah Al-Quran dan Hadis, namun dalam tasawwuf mereka menjadikan kasyaf para wali, mimpi, pertumuan barzakhiyyah dengan orang yang sudah mati, peremuan dengan nabi Khaidir dan membaca Luh Mahfuz serta mengambil ilmu daripada jin-jin yang disebut sebagai Ruhaniyat sebagai seumber dalam beragama.

2) Akidah tasawwuf ada konsep Al-Hulul yang pernah dianuti oleh Hallaj dan Wihdatul Wujud yang dikembangkan oleh Ibn Arabi, Ibn Sab'in, At-Tilmisani, Abdul Karim Al-Jili,  Abdul Ghani An-Nablusi dan ramai tokoh-tokoh sufi hingga kini.

3) Akidah tasawwuf tentang kedudukan para Rasul yang tidak mencapai darjat para wali.

4) Tasawwuf memumpunyai kepercayaan melampau tentang wali di mana wali-wali ada kerajaannya dan mereka ada hak tasarruf ke atas alam semesta ini.

5) Tasawwuf meremehkan syurga yang Allah sediakan dan mendakwa buat amal kerana syurga adalah mengurangkan darjat. Syurga pada golongan tasawwuf adalah mencapai darjat fana. Neraka pula bagi mereka tidak perlu ditakuti. Seorang sufi tidak takutkan neraka dan neraka serta syurga sama sahaja nikmatnya.

6) Ramai kalangan Sufi yang melihat Iblis sebagai hamba yang paling sempurna imannya kerana dia enggan sujud kepada selain Allah. Sementara Firaun pula adala Seafdhal-afdhal orang yang bertauhid kerana dia pernah berkata : Ana Rabbukumul A'la. Ini menjadi dalil bahawa dia mencapai hakikat bahawa semua yang wujud adalah Allah belaka.

7) Kalangan sufi mempunyai konsep ibadat yang berbeza dengan apa yang dikenali dalam Islam. Ibadat solat, puasa, haji dan zakat itu adalah ibadat orang awam. Mereka  mencapai darjat khusus dan ada ibadat dalam bentuk yang lain seperti zikir, khulwat dan haflah-haflah yang tertentu.

8) Halal dan haram kalangan ahli sufi tidak sama dengan apa yang ada dalam syariat ISlam. Sebab itu ada sufi yang telanjang, minum arak dan menyetubuhi keldai .Semua itu kerana mereka ada syariat yang lain daripada syariat Muhammad SAW.

Sesiapa yang membaca kisah-kisah sufi akan temui fakta ini.

9) Kalangan sufi menolak menentang kejahatan pemerimntah yang zalim dan mengajar untuk redha dengan ketentuan Allah SWT.

10) tarbiah tasawwuf memandulkan akal dan menghilang fungsinya. Seorang yang masuk tariqat tidak boleh keluar sama sekali dari tarikat itu dan hendaklah taat sepenuhnya kepada syeikh tariqat seperti mayat di depan tukang mandi!


Inilah perkara-perkara pokok yang perlu menjaid fokus ketika hendaklah bermujadalah dengan para pentaksub kesufian. 

Abdurahman Al-Khaliq menasihatkan agar jangan disibukkan dengan  menegur perkara furuk  dan syakliyyat yang para sufi lakukan. Apa yang perlu dipersoalkan kepada mereka ialah apakah sumber ambilan dalam agama Islam yang meraka anuti? 

Untuk dapat penjelasan yang lebih panjang mengenai apa yang tersimpan dalam khazanah pemikiran Sufi, Syaikh Abdurrahman Al-Khaliq telah huraikan dengan panjang lebar dalam Kitabnya " Al-Fikru As-Sufi". Sila rujuk dan baca, Cari ilmu dan kebenaran dan buangkan ketakutan . Pecahkan taboo dan kekangan akal.



Friday, December 30, 2022

Belajar Usul Feqah itu penting.

Sebelum anda belajar feqah, anda perlu belajar usul feqah. Demikian kata para ulama dalam bidang ini. Dr. Nayif bin Nahar dalam bukunya Muqaddimah Fi Usul Al-Fiqh menyebtkan bahawa ilmu Usul Feqah adalah natijahh yang lahir dari Pemikiran Islam dan semasa proses pembentukan asas ilmu ini, tidak ada sama sekali pemikiran luar yang melaburkan sahamnya.

Ini tentu berbeza dengan beberapa ilmu lain yang dipengaruhi pemikiran luar seperti ulmu tasawwuf yang di dalamnya ada saham pemikiran falsafah. Demikian ilmu kalam juga dipengaruhi pemikiran falsafah.

Thursday, December 29, 2022

KAEDAH USUL FEQAH YANG DISEPAKATI PARA ULAMA

1) Yakin tidak dihilangkan dengan syak

2) Kemudaratan hendaklah dihilangkan

3) Apabila sukar, hendaklah dimudahkan.

4) Adat kebiasaan diambil kira.

5)  Sesuatu perkara berdasarkan niat


Semak: Islamweb


Sunday, December 25, 2022

SIFAT-SIFAT GOLONGAN KHAWARIJ MENURUT HADIS NABI

 Nabi SAW telah menyebutkan tentang kemunculan golongan dari kalangan ummatnya yang memenuhi ciri-ciri yang kemudiannya dinamakan golongan Khawarij. Ciri-ciri mereka adalah seperti berikut:

1) Anak-anak muda yang mentah

2) Kurang ilmu dan lebih dipandu oleh semangat yang berkobar-kobar.

3) Syok sendiri dalam beragama dan melihat orang lain sebagai lekeh dan kurang agama.

4) Banyak ibadat, baca Quran tetapi kurang memahaminya.

5) Selalu beristidlal dengan Quran tetapi naif dalam ilmu-ilmu Quran.

6) Elok dalam bicara tetapi lemah dalam tindakan( Cakap tak serupa bikin)\

7) Budaya takfiri dan halal darah ornag berlegar di bibir meeka.

8) Suka mengambil syiar paa penampilan yang membezakan mereka dengan ummat Islam yang lain. Umpamanya di zaman Saidina Ali, syiar mereka adalah mencukur kepala. Kekadang mereka mensyiarkan diri mereka dengan panji khas.


Rujuk: http://www.saaid.net/Minute/764.htm

Saturday, December 24, 2022

MEMULANGKAN HAK ORANG-ORANG YANG DIZALIMI

 Apabila Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, langkah awal beliau adalah "Raddul Mazoolim". Orang-orang yang dizalimi dan dirampas hal mereka oleh pemerintah sebelumnya dikembalikan semula hak yang dirampas itu. Beliau memikul tanggungjawab kesilapan kerajaan dan mengambil langkah pembetulan. Sehingga dengan itu, seorang ulama yang menjawat jawatan Qadhi Basrah menyebutkan dengan katanya:

" Sesungguhnya khalifah itu ada 3. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq yang memerangi golongan murtad, khalifah Umar bin Abdul Aziz yang memulangkan kezaliman Bani Umayyah dan Khalifah Al-Mutawakkil yang membela sunnah dan membungkam Bid'ah".

Umar bin Abdul Aziz adalah model pemerintah yang datang memimpin kerajaan yang pernah bobrok lalu melakukan Islah. Apa-apa kesilapan pemerintah sebelumnya dia perbetulkan dan kesilapan terbesar sesuatu pemerintahan adalah apabila membiarkan orang-orang yang dizalimi tidka dibela. Membela para maslum, itulah amal soleh terbesar seorang penguasa kerana di dalamnya terkandung makna keadilan yang menjadi tunggak kepada pemerintahan yang diredhai Allah SWT.

Kerana itu, beberapa tindakan DS Anwar Ibrahim setelah terlantik menjadi Perdana Menteri boleh dilihat dalam rangka melaksanakan Raddul Mazalim. Beliau telah memulangkan kembali hak para petani yang selama ini dikuras oleh para lintah. Menetapkan BERNAS yang dimiliki oleh DS Syed Mukhtar Al-Bukari memberikan RM10 juta pada Disember 2022 dan RM50 Juta lagi sepanjang tahun 2023  kepada warga petani adalah satu bentuk Raddul Mazolim. Demikian juga mengembalikan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak, ia merupakan Raddul Mazolim.

Kita tidak boleh memandang ringan persoalan raddul Mazolim. Khazanah pemerintahan Islam meletakkan hal ini dalam senarai penting petanda keadilan sesebuah pemerintahan. Hinggakan ada khalifah yang menajadikan hari tertentu sepanjang roda pemerintahannya sebagai hari Raddul Mazolim.

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Kitab Al-Mazalim:


عن أبي هريرة رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ((مَنْ كانت عنده مظلمة لأخيه فليتحلَّلْه منها، فإنه ليس ثمَّ دينار ولا درهم من قبل أن يؤخذ لأخيه من حسناته، فإن لم يكن له حسنات، أخذ من سيئات أخيه فطرحت عليه))

"Sesiapa yang pada dirinya ada berbuat zalim kepada saudaranya, maka hendaklah dia minta halal daripadanya. Sesungguhnya kezaliman itu tidak dapat dibayar dengan dinar dan dirham pada hari kiamat akan tetapi dibayar dengan kebaikan yang dilakukannya di dunia.Jika dia tidak punya kebaikan, maka diambil kejahatan ornag yang dizaliminya itu dan dipikulkan ke pundaknya !".





Friday, December 23, 2022

Bermazhab Syafie dalam Furu' dan Bermazhab Imam Ahmad serta Ahlul Hadis dalam Usul

 Mengikut mazhab adalah tradisi para ulama sejak zaman silam. Itulah cara mengikat diri dengan kebenaran agar tidak tergelincir dalam menghadapi tribulasi kepelbagaian jalan dalam agama. Bersama peredaran waktu muncul para mubtadi'un yang cuba memesongkan ummat dari jalan nabi SAW , para sahabat serta salafus soleh. Oleh itu, memilih untuk ikut mazhab ulama mujtahid adalah jalan selamat.

Mengikut mazhab Syafie dalam masalah furu' dan mazhab Ahmad dan Ahlul Hadis dalam masalah Usul adalah nasihat yang diutarakan oleh Syeikh Abu Mansur Muhammad bin Ahmad Al-Muqri Al-Khayyat kepada Abu Al-Fadhli Muhammad bin Nasir As-Sulami 

Menurut Ibn Nasir As-Sulami, pada mulanya dia mengikut aliran para Syafi'iyyah yang ada di madrasah Nizamiyyah yang mengatakan bahawa Al-Quran adalah merujuk kepada makna yang ada pada zat dan huruf serta suara. Ia menjadi ibarat atau dalil yang menunjukkan kepada kalam Qodim yang bersama Zat Allah yang agung. Perkataan ini dianuti oleh Ibn Nasir As-Sulami dan diperjuangkannya.

Namun, dia mendengar perkataan-perkataan yang meyalahinya dalam maslaah itu lalu dia berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah buatnya untuk mengikut jalan yang benar.Lalu dia dikurniakan mimpi yang menunjukkan jalan pada awal malam bulan Rejab tahun 494H yang mana dalam mimpinya itu dia mengahadiri pengajian Syeikh Abu Mansur Muhammad bin Ahmad Al-Muqri Al-Khayyat di masjid Ibn Jardah. Dalam mimpinya itu, dia diberitahu orang di luar masjid bahawa Nabi SAW ada bersama Syeikh. Lalu dia masuk dan dalam pertemuan itu, Nabi menyebutkan untuknya 3 kali agar mengikut jalan Syeikh Al-Khayyat.

Maka, itulah timbul perkataan Syeikh Al-Khayyat buat Ibn Nasir As-Sulami.



Rujuk kitab : At-Tawwabin oleh Ibn Qudamah ms 38-39

Tuesday, December 20, 2022

LIKU-LIKU HITAM DUNIA POLITIK

Sesiapa yang memerhati watak-watak yang mementaskan drama politik dan siasah sepanjang sejarah, akan dapat mengambil satu kesimpulan bahawa para aktor politik adalah mereka yang paling banyak berdansa dengan perbuatan dosa.  Ada penipuan, kezaliman, khianat, putus silaturrahim, ketamakan, pecah amanah, penindasan, takabbur, merampas hak orang, lupakan jasa dan budi, lupakan akhirat dan sibu dengan dunia. Tidak hairan, kenapa baginda Rasulullah memperingatkan kepada Abu Zar, sahabatnya tatkala dia meminta kepada nabi jawataan kepimpinan dalam satu urusan. 

Sabda nabi SAW:

يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ القِيَامَةِ خِزيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا، وَأَدَّى الَّذِي عَلَيهِ فِيهَ

" Wahai Abu Zar, sesungguhnya engka seorang yang lemah. Kepimpina n itu amanah. Pada hari kiamat ia akan menjadi sumber kehinaan dan penyesalan. Kecuali mereka yang mengambil kepimpinan itu secara HAQ dan menunaikan kewajipan kepimpinan itu".
(Hadis Saheh Muslim)

Politik dan siasah adalah wahana menggapai kepimpinan. Kepimpinan itu kuasa. Kuasa itu sering buat manusia lupa dan melampau. 

Kita akan mendapati banyak sekali ornag baik bertukar menjadi jahat. Menjadi buas dan tega. Sanggup menzalimi dan bahkan membunuh demi permainan politik. 

Pernahkah kalian dengar apa yang dinaqalkan mengenai perkataan Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila sampai kepadanya bahawa dia dipilih keluarga Bani Umayyah untuk menjadi khalifah Bani Uamyyah? Ketika itu dia berada di Madinah dalam majlis ilmu bersama para pencinta ilmu. Dia adalah salah seorang Fuqahaa Madinah yang namanya dibariskan bersama Sa'id bin Al-Musayyab, Urwah bin Zubair dan Qubaisah bin Zuaib.

Ibn A'isyah meriwayatkan (Sebagaimana disebutkan dalam Siyar A'lam An-Nubalaa):

Ketika sampai urusan perlantikan khalifah kepada Abdul Malik, sedangkan mashaf Quran adalah di tangannya, dia pun menutup mashaf itu dan berkata:

هذا آخر العهد بك

" Inilah kesudahan janji setia aku denganmu".


Sesungguhnya politik dan siasah telah memakan korban yang banyak. Baca sahaja kisah bagaimana Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur menghadapi pesaing-pesaing politiknya. Mereka adalah orang yang berjasa dalam menumbangkan dinasti Bani Umayyah dan melakar jalan untuk bangkitnya Pemerintahan Khilafah Bani Abbasiyyah. Abdullah bin Ali, pakciknya sendiri menjadi musuhnya dan dikalahkan dengan kelicikan politiknya. Abu Muslim Al-Khurasani, jenderal tentera yang berjasa memebela Bani Ababsiyyah akhirnya dibunuh oleh Abu Ja'far dengan tipudayanya. Muhammad An-Nafsu Az-Zakiyyah digugat hingga bangkit memberontak melawannya dan akhirnya mati dibunuh, sedangkan Bani Abbasiyyah dan banu Umayyah itu adalah keturunan yang sama dari Abdul Manaf bin Qusai.

Itulah natijah sebuah persaingan politik.

Lebih jauh ke belakang, riwayat sejarah mencatatkan bahawa pada zaman Khilafah Othmaniyyah, demi kelangsungan politik, para khalifahnya sanggup membunuh adik beradik dan ia menjadi satu aturan yang diterimapakai dalam negara. Perbuatan yang disitilahkan sebagai FRATRICIDE itu berlangsung dalam tempo beberapa khalifah. Ia berawal daripada persaingan antara Osman bin Urtughul dengan pakciknya Dundar yang mana akhirnyanya Dundar dibunuh oleh Osman atas alasan khianatnya Dundar dan bersekongkol dengan Raja Byzantin yang Kristian untuk membunuh Osman bin Urtughul.

Kemudian, Sultan Murad I bin Urkhan, khalifah ketiga Daulah Othmaniyyah membunuh anaknya sendiri yang bernama Sauci kerana khianat dan berpihak kepada raja Byzantinز

Kemudiannya, semasa Sultan Murad II ( Bapa kepada Muhammad Al-Fatih) pula, dia membunuh pakciknya Mutafa bin Bayazid kerana persekongkolannya dengan Emperor Imanuel II dari Byzantin untuk menyerang kerajaan Othmaniyyah.Khianatnya kepada Othmaniyyah ialah apabila dengan dibekalkan senjata oleh emperor itu dan menawan Semenjanjung Gallipoli dan menyebabkan Sultan Murad II memimpin pasukan tentera mengalahkannya dan kemudian menjatuhkan hukuman buinuh ke atasnya.

Menela'ah sejarah Othmaniyyah akan membawa anda menelurusi kisah hitam dunia politik yang tidak terjangkau oleh fikiran anda sebagai orang biasa yang tidak mengenal liku-liku politik.

Hinggalah ke zaman Erdogan menjadi presiden Turki. Seorang pendakwah tersohor yang telah berjaya membina rangkaian sekolah agama di Turki dan seluruh dunia, Gulen, bergeser dan bermusuhan. Hampir jadi puncanya tumbangnya pemerintahan Erdorgan dan membawa kuasa tentera kembali menentukan hala tuju Turki. Hanya, kepantasan Erdorgan dan sokongan rakyat yang menghentikan ftnah Gulen.


Pelajarilah kerajaan-kerajaan yang muncul dalam sejarah Islam, anda akan temui kemungkaran politik yang beragam. Hal yang serupa akan anda temui dalam sejarah Eropah, India, Cina dan di manapun juga. 

Politik adalah sebuah lembah berdarah, kabusnya sangat tebal dan ngauman rimbanya sangat menyeramkan.

Kalau anda memilih politik sebagai medan anda, bersedialah untuk semua itu. Hadapilah dengan yakin dan telanlah segala kepahitannya!





Sunday, December 11, 2022

SIAPAKAH PENOLONG-PENONG ORANG ZALIM?

Disebutkan dalam kitab "إيضاح طرق الاستقامة في بيان أحكام الولاية والإمامة" ms 253:

Seorang lelaki telah berkata kepada Imam Ahmad: 

"Apakah kamu merasakan bahawa aku ini dari kalangan penolong-penolong orang zalim?"

"Apa pekerjaanmu?" tanya Imam Ahmad.

" Kerja sebagai tukang jahit kepada si zalim" jawabnya.

" Kalau begitu engkau adalah orang zalim, bukan penolong kepada mereka. Penolong orang zalim ialah yang membekalkan engkau benang dan jarum", jawab Imam Ahmad.

Ibn Al-Jauzi juga menyebutkan dalan "Saidul Khawatir" ms 435:

Telah berkata seorang penjaga penjara kepada Imam Ahmad: "Apakah aku kalangan orang yang menolong penzalim? "

Imam Ahmad mengatakan bahawa dia bukan penolong penzalim, bahkan dia adalah penzalim. Penolong orang zalim ialah mereka yang membatumu dalam kerjamu sebagai penjaga penjara!".

Friday, December 9, 2022

KEKAYAAN SERTA MERTA AKAN MEMBUNUHMU

Siapa yang tak mahu kaya? rata-rata orang jika ditawarkan kekayaan, pasti dia mahu. Mungkin ada segelintir yang menolak kekayaan. Itu sangat nadir!

Namun, kekayaan hendaklah dicapai secara perlahan-lahan. Dengan kata lain, jangan jadi kaya mendadak. Kaya mendadak itu memudaratkan diri. Bahkan boleh membunuh diri sendiri. 

Ianya seperti makan. Kalau makan, biarlah semulut demi semulut.  Demikian juga minum. Biarlah seteguk demi seteguk. Makan dengan jumlah yang banyak sekaligus atau minum setempayan sekaligus, boleh membunuh diri. Kalau melangkah ke satu tempat, biar setepak demi setapak. Orang melayu berpepatah. Biar lambat asal selamat. Kecepatan selalu mengundang bahaya. Naik kereta laju-laju, akibatnya kemalangan. Kalau melangkah, jangan gopoh. Takut terpeleset dan jatuh.

Demikian pula kalau orang mendaki gunung. Orang naik perlahan-lahan. Tak payah melompat sana sini. takut nanti jatuh terguling masuk jurang. Mati.

Macam tulah kekayaan. Nak kaya, kerja sikit-sikit. Dapat duit, kumpul, jana dan kembangkan. Lama-lama kayalah. Kalau jumpa harta karun berkoyan-koyan lalu jadi kaya tiba-tiba, boleh mati di buatnya.  Mungkin mati sebab terkejut lantaran kena heart attack. Mungkin juga buat orang rasa heran. Termasuk para penyamun dan perompak. Orang dengki pun ramai. Tuduhan dan fitnah pun datang berjela-jela. Ramai pula berebut mengakui empunya harta itu. Bergaduh dan mungkin mati.

Macam khabar Nabi SAW dalam hadis tentang tanda akhir zaman. Tiba-tiba aja ada gunung emas muncul dari dasar sungai Furat. Manusia berebut. 100 orang terlibat, semua mati tak sempat merasakan harta itu, kecuali seorang. Kalau dah seorang, nak buat apa segunung emas pun?

Ada satu kisah pengajaran. Kisah berlaku di zaman pemerintahan Ahmad bin Tulun, pengasas kerajaan Tuluniyyah yang berdiri di Mesir antara tahun 254H hingga 292H.

Satu hari Ahmad bin Tulun itu berperahu menyusur sungai Nil bersama seorang khadamnya yang bernama Nasim. Mereka singgah di satu pantai sungai Nil dan melihat ada seorang tua yang miskin dengan pakaian compang camping bersama seorang kanak-kanak yang sama compang camping sepertinya. Mereka sedang menebar jala. Ahmad bin Tulun rasa kasihan melihat mereka. Lalu, diperintahkan khadamnya agar mengeluarkan 20 dinar dan diberikan kepada nelayan tua yang miskin itu. Dia dan khadamnya pun berlalu setelah diberikan 20 dinar itu. Dalam perjalanan balik, mereka lihat orang tua itu tergeletak atas tanah dan kanak-kanak yang bersamanya sedang menangisinya. Ahmad bin Tulun kehairanan. Sangkanya seseorang telah merompaknya dan membunuhnya dan mengamnbil harta yang diberikan oleh khadamnya tadi. Lalu dia bertanya kanak-kanak itu apa yang telah berlaku. Kanak-kanak itu menceritakan bahawa ayahnya itu menerima wang dinar dan kemudian dia duduk membelek wang dinar itu sehingga tiba-tiba dia jatuh pengsan dan mati. Ahmad bin Tulun menyuruh agar diperiksa badan orang tua itu dan memang didapati ada dinar emas bersamanya. Ahmad bin Tulun mahu memberikan dinar itu kepada kanak-kanak itu, tetapi dia menolaknya. Katamnya:

" Aku takut ia membunuhku sepertimana ia telah membunuh ayahku!".

Kata Ahmad bin Tulun:

"Benar...kekayaan itu perlu beransur-ansur, jika tidak ia akan membunuh tuannya!".

Thursday, December 8, 2022

BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG BERIMAN

Masalah kebanyakan kita adalah bersangka buruk kepada orang beriman. Kita seolah-olah melihat orang lain jahat, kita sahaja yang baik.Kita tega menyangka si fulan dan si fulanah itu ahli maksiat sedangkan kita sendiri bencikan maksiat itu.Kalau ada orang bawa cerita kepada kita bahawa si fulan itu berzina, liwat, minum arak dan seumpanya, antara kita ada yang terus percaya. Padahal yang dituduh itu belum dikenal sebelumnya sebagai ahli zina, ahli lewat atau kaki botol.

Inilah penyakit yang melanda bayak jiwa kalangan kita.

Aku ada dengar satu kalam seorang politikus. 

" Allah tidak menghendaki kita ornag baik duduk bersama orang jahat".

Sungguh hebat politikus itu melebelkan dirinya orang baik dan lawan politiknya orang jahat. Selain penyakit 'ujub, dia juga dihinggapi oleh perasangka buruk kepada orang lain.

Renungkanlah kisah Abu Ayub Al-Ansari dan isterinya tatkala mendepani berita fitnah yang menimpa Saidatina A'isyah r.a. 

Isteri Abu Ayyub, Ummu Ayub berkata kepada suaminya:

يا أبا أيوب ، أسمعت ما قيل ؟

Kata Abu Ayyub:

نعم ، وذلك الكذب ، أكنت أنت يا أم أيوب تفعلين ذلك !

Maka isteri Abu Ayyub berkata:

 لا والله !

Lalu Abu Ayyub menempelak:

فعائشة والله أفضل منك

Rujuk : Tafsir Qurtubi: Surah Annur, ayat 12.

Begitu caranya akhlak seornag muslim. Jangan rasa diri lebih baik. Cerminkan diri pada kejahatan yang hendak kita tampalkan kepada orang. Kita sanggupkah buat maksiat yang kita sangka ornag lain buat? Kalau kita tak sanggup, maka simpanlah dalam sangkaanmu yang baik bahawa orang lain juga tidak sanggup. Jangan cuma rasa diri sahaja yang suci, sedang orang lain nista dan najis!

SIAPA GALI LUBANG UNTUK JATUHKAN ORANG, SATU MASA DIA SENDIRI AKAN JATUH KE DALAMNYA.

Tipu daya dibalas tipu daya. Satu orang yang yang cuba menjerumuskan seorang yang lain ke dalam perangkap permainannya, pada satu ketika nanti, perangkap itu akan memakan diri. Al-Quran menyebutkan:

وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ

"Tipu daya jahat tidak akan menjerumuskan melainkan pemain tipu daya jahat itu sendiri".

(Surah Fatiir: 43)

Pepatah Arab ada menyebut:


من حفر حفرة لأخيه وقع فيها

Siapa gali lubang buat saudaranya, dia yang jatuh ke dalamnya.

Pepatah Arab ini berasal dari kisah dua orang saudara. Satu kaya dan satu lagi miskin serta buta. Saudara yang kaya itu  tinggal di sebuah rumah besar lengkap dengan khadam dan rumahnya jadi tempat berkumpul rakan-rakan perniagaannya. Saudaranya yang miskin pula acap berkunjung ke rumah saudaranya yang kaya itu atas alasan menjenguk dan berkasih sayang dengan saudaranya yang kaya itu. Namun, saudara yang kaya tidak suka dan mencari jalan bagaimana membebaskan dirinya daripada saudaranya yang miskin dan buta itu. Maka di suruhnya khadamnya gali satu lubang di laluan saudaranya yang miskin itu dengan perintah kalau saudaranya jatuh ke dalam lubang itu, hendaklah segera ditimbus. 

Malangnya, di satu subuh yang gelap, saudara yang kaya itu bangun dan lupa rancangan jahatnya tentang lubang itu. Dia sendiri lalu di jalan yang ada lubang itu dan terjatuh ke dalamnya. Sang khadamnya pun menimbusnya dan lenyaplah dia mati tertimbus. Esoknya, bila saudaranya yang miskin dan buta itu datang, alangkah terkejutnya sang khadam. Rupanya tuannya yang ditimbusnya.  Maka diuangkapkanlah permpamaan ini oleh orang Arab mengingatkan tragedi itu. 

Ada satu kisah yang mengesankan. Seorang suami telah tersilap memukul isterinya hingga mati. Dia cemas memikirkan bagaimana nak selamatkan dirinya kelak bila adim beradik isterinya tahu. Lalu, dia pergi minta nasihat kepada seorang yang banyak akalnya. Orang Arab sebut, orang yang panjang akal, banyak buah fikiran, dan pintar itu  sebagai "dahaa". Maka sang dahaa itu pun bagi idea. Disuruhnya suami yang malang itu ajak seornag pemuda belia yang kacak masuk ke dalam rumahnya dan bunuhlah dia. Kemudian, bila saudara mara isterinya datang, ceritakanlah kepada mereka bahawa isterinya itu didapati berzina dengan pemuda itu dan sebab itu dia membunuhnya. Maka suami malang itu pun lakukanlah idea yang penuh makar dan jahat itu.

Tahu apa yang terjadi? Seorang pemuda malang yang lalu di depan rumahnya dijemput masuk dan dipujuk dengan layanan itu ini. Akhirnya dibunuh oleh suami itu ketika sudah dalam rumahnya. Kemudian mayatnya dan isterinya diletakkan bergandingan. Lalu dijemput saudara mara isterinya datang dan beritahu mereka bahawa isterinya mati kerana berzina dengan pemuda itu. Dimintanya agar mayat isterinya itu dikebumikan secepatnya sebelum orang tahu dan mereka malu kerananya.

Maka adapun sang dahaa itu rupanya ada anak lelaki. Sudah beberapa hari tak pulang rumah, dia pun cari sana sini tak jumpa. Pendek cerita, akhirnya dia tahu bahawa anak lelakinya itulah yang jadi mangsa dibunuh suami yang datang minta akalnya. Lihat, sang pembekal akal jahat akhirnya dapat akibatnya!


Jangan cuba menganiaya orang, nanti kelak diri sendiri yang kena. Jangan asyik kata orang itu ini, nanti kelak, terpaksa menjilat ludah.

Dalam politik, para pesaing selalu bermusuh. Macam-macam lebel dan tuduhan yang dilontarkan. Politikus sebelah sini tuduh politikus sebelah sana sakau, apakah tidak mungkin satu saat, politikus yang menuduh itu pula jadi sakau? Ada politikus dituduh LGBT, freemanson, agen  Yahudi dan sebagainya, apakah tidak satu masa yang entah bila, sifat itu akan terpalit kepada sang penuduh pula?

Kita lihat banyak contoh kebalikan kata ini terjadi. Kita juga juga lihat bagaimana makar dalam politik akhirnya makan diri. Ini semua adalah contoh dan bukti bagaimana pepatah tadi menjawab dalam bentuk praktikal kehidupan manusia.

Oleh itu, hiduplah dengan jujur dan jauhi makar. Jauhi tipu daya. Jauhi kecenderungan mengata orang itu ini tak bagus dan asyik membaguskan diri. Lebih baik kata diri tak bagus dan orang lain bagus , itu lebih selamat. Allah memerhati kelakuan kita dan dia mengatur intiqamnya dengan Maha Adil!

KAFA'AH DAN BANI HASHIM

 Yang namanya BANI HASHIM itu adalah keturunan kepada anak-anak lelaki Hasyim bin Abdul Manaf Bin Qusai, Datuk Nabi SAW. Penetapan ini per...