Thursday, December 8, 2022

SIAPA GALI LUBANG UNTUK JATUHKAN ORANG, SATU MASA DIA SENDIRI AKAN JATUH KE DALAMNYA.

Tipu daya dibalas tipu daya. Satu orang yang yang cuba menjerumuskan seorang yang lain ke dalam perangkap permainannya, pada satu ketika nanti, perangkap itu akan memakan diri. Al-Quran menyebutkan:

وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ

"Tipu daya jahat tidak akan menjerumuskan melainkan pemain tipu daya jahat itu sendiri".

(Surah Fatiir: 43)

Pepatah Arab ada menyebut:


من حفر حفرة لأخيه وقع فيها

Siapa gali lubang buat saudaranya, dia yang jatuh ke dalamnya.

Pepatah Arab ini berasal dari kisah dua orang saudara. Satu kaya dan satu lagi miskin serta buta. Saudara yang kaya itu  tinggal di sebuah rumah besar lengkap dengan khadam dan rumahnya jadi tempat berkumpul rakan-rakan perniagaannya. Saudaranya yang miskin pula acap berkunjung ke rumah saudaranya yang kaya itu atas alasan menjenguk dan berkasih sayang dengan saudaranya yang kaya itu. Namun, saudara yang kaya tidak suka dan mencari jalan bagaimana membebaskan dirinya daripada saudaranya yang miskin dan buta itu. Maka di suruhnya khadamnya gali satu lubang di laluan saudaranya yang miskin itu dengan perintah kalau saudaranya jatuh ke dalam lubang itu, hendaklah segera ditimbus. 

Malangnya, di satu subuh yang gelap, saudara yang kaya itu bangun dan lupa rancangan jahatnya tentang lubang itu. Dia sendiri lalu di jalan yang ada lubang itu dan terjatuh ke dalamnya. Sang khadamnya pun menimbusnya dan lenyaplah dia mati tertimbus. Esoknya, bila saudaranya yang miskin dan buta itu datang, alangkah terkejutnya sang khadam. Rupanya tuannya yang ditimbusnya.  Maka diuangkapkanlah permpamaan ini oleh orang Arab mengingatkan tragedi itu. 

Ada satu kisah yang mengesankan. Seorang suami telah tersilap memukul isterinya hingga mati. Dia cemas memikirkan bagaimana nak selamatkan dirinya kelak bila adim beradik isterinya tahu. Lalu, dia pergi minta nasihat kepada seorang yang banyak akalnya. Orang Arab sebut, orang yang panjang akal, banyak buah fikiran, dan pintar itu  sebagai "dahaa". Maka sang dahaa itu pun bagi idea. Disuruhnya suami yang malang itu ajak seornag pemuda belia yang kacak masuk ke dalam rumahnya dan bunuhlah dia. Kemudian, bila saudara mara isterinya datang, ceritakanlah kepada mereka bahawa isterinya itu didapati berzina dengan pemuda itu dan sebab itu dia membunuhnya. Maka suami malang itu pun lakukanlah idea yang penuh makar dan jahat itu.

Tahu apa yang terjadi? Seorang pemuda malang yang lalu di depan rumahnya dijemput masuk dan dipujuk dengan layanan itu ini. Akhirnya dibunuh oleh suami itu ketika sudah dalam rumahnya. Kemudian mayatnya dan isterinya diletakkan bergandingan. Lalu dijemput saudara mara isterinya datang dan beritahu mereka bahawa isterinya mati kerana berzina dengan pemuda itu. Dimintanya agar mayat isterinya itu dikebumikan secepatnya sebelum orang tahu dan mereka malu kerananya.

Maka adapun sang dahaa itu rupanya ada anak lelaki. Sudah beberapa hari tak pulang rumah, dia pun cari sana sini tak jumpa. Pendek cerita, akhirnya dia tahu bahawa anak lelakinya itulah yang jadi mangsa dibunuh suami yang datang minta akalnya. Lihat, sang pembekal akal jahat akhirnya dapat akibatnya!


Jangan cuba menganiaya orang, nanti kelak diri sendiri yang kena. Jangan asyik kata orang itu ini, nanti kelak, terpaksa menjilat ludah.

Dalam politik, para pesaing selalu bermusuh. Macam-macam lebel dan tuduhan yang dilontarkan. Politikus sebelah sini tuduh politikus sebelah sana sakau, apakah tidak mungkin satu saat, politikus yang menuduh itu pula jadi sakau? Ada politikus dituduh LGBT, freemanson, agen  Yahudi dan sebagainya, apakah tidak satu masa yang entah bila, sifat itu akan terpalit kepada sang penuduh pula?

Kita lihat banyak contoh kebalikan kata ini terjadi. Kita juga juga lihat bagaimana makar dalam politik akhirnya makan diri. Ini semua adalah contoh dan bukti bagaimana pepatah tadi menjawab dalam bentuk praktikal kehidupan manusia.

Oleh itu, hiduplah dengan jujur dan jauhi makar. Jauhi tipu daya. Jauhi kecenderungan mengata orang itu ini tak bagus dan asyik membaguskan diri. Lebih baik kata diri tak bagus dan orang lain bagus , itu lebih selamat. Allah memerhati kelakuan kita dan dia mengatur intiqamnya dengan Maha Adil!

No comments:

Post a Comment

Dengar Quran atau Nyanyian

Anda mintalah fatwa kepada hanti anda. Bagaiimana kedudukan iman anda. Jika hanti anda, sewaktu dengar nyanyian rasa bahagia dan senang seka...