Friday, December 9, 2022

KEKAYAAN SERTA MERTA AKAN MEMBUNUHMU

Siapa yang tak mahu kaya? rata-rata orang jika ditawarkan kekayaan, pasti dia mahu. Mungkin ada segelintir yang menolak kekayaan. Itu sangat nadir!

Namun, kekayaan hendaklah dicapai secara perlahan-lahan. Dengan kata lain, jangan jadi kaya mendadak. Kaya mendadak itu memudaratkan diri. Bahkan boleh membunuh diri sendiri. 

Ianya seperti makan. Kalau makan, biarlah semulut demi semulut.  Demikian juga minum. Biarlah seteguk demi seteguk. Makan dengan jumlah yang banyak sekaligus atau minum setempayan sekaligus, boleh membunuh diri. Kalau melangkah ke satu tempat, biar setepak demi setapak. Orang melayu berpepatah. Biar lambat asal selamat. Kecepatan selalu mengundang bahaya. Naik kereta laju-laju, akibatnya kemalangan. Kalau melangkah, jangan gopoh. Takut terpeleset dan jatuh.

Demikian pula kalau orang mendaki gunung. Orang naik perlahan-lahan. Tak payah melompat sana sini. takut nanti jatuh terguling masuk jurang. Mati.

Macam tulah kekayaan. Nak kaya, kerja sikit-sikit. Dapat duit, kumpul, jana dan kembangkan. Lama-lama kayalah. Kalau jumpa harta karun berkoyan-koyan lalu jadi kaya tiba-tiba, boleh mati di buatnya.  Mungkin mati sebab terkejut lantaran kena heart attack. Mungkin juga buat orang rasa heran. Termasuk para penyamun dan perompak. Orang dengki pun ramai. Tuduhan dan fitnah pun datang berjela-jela. Ramai pula berebut mengakui empunya harta itu. Bergaduh dan mungkin mati.

Macam khabar Nabi SAW dalam hadis tentang tanda akhir zaman. Tiba-tiba aja ada gunung emas muncul dari dasar sungai Furat. Manusia berebut. 100 orang terlibat, semua mati tak sempat merasakan harta itu, kecuali seorang. Kalau dah seorang, nak buat apa segunung emas pun?

Ada satu kisah pengajaran. Kisah berlaku di zaman pemerintahan Ahmad bin Tulun, pengasas kerajaan Tuluniyyah yang berdiri di Mesir antara tahun 254H hingga 292H.

Satu hari Ahmad bin Tulun itu berperahu menyusur sungai Nil bersama seorang khadamnya yang bernama Nasim. Mereka singgah di satu pantai sungai Nil dan melihat ada seorang tua yang miskin dengan pakaian compang camping bersama seorang kanak-kanak yang sama compang camping sepertinya. Mereka sedang menebar jala. Ahmad bin Tulun rasa kasihan melihat mereka. Lalu, diperintahkan khadamnya agar mengeluarkan 20 dinar dan diberikan kepada nelayan tua yang miskin itu. Dia dan khadamnya pun berlalu setelah diberikan 20 dinar itu. Dalam perjalanan balik, mereka lihat orang tua itu tergeletak atas tanah dan kanak-kanak yang bersamanya sedang menangisinya. Ahmad bin Tulun kehairanan. Sangkanya seseorang telah merompaknya dan membunuhnya dan mengamnbil harta yang diberikan oleh khadamnya tadi. Lalu dia bertanya kanak-kanak itu apa yang telah berlaku. Kanak-kanak itu menceritakan bahawa ayahnya itu menerima wang dinar dan kemudian dia duduk membelek wang dinar itu sehingga tiba-tiba dia jatuh pengsan dan mati. Ahmad bin Tulun menyuruh agar diperiksa badan orang tua itu dan memang didapati ada dinar emas bersamanya. Ahmad bin Tulun mahu memberikan dinar itu kepada kanak-kanak itu, tetapi dia menolaknya. Katamnya:

" Aku takut ia membunuhku sepertimana ia telah membunuh ayahku!".

Kata Ahmad bin Tulun:

"Benar...kekayaan itu perlu beransur-ansur, jika tidak ia akan membunuh tuannya!".

No comments:

Post a Comment

SYARAT SAH SOLAT JUMAAT DI SISI MAZHAB SYAFIE

1) Hendaklah 2 khutbah dan solat berlaku dalam waktu Zuhur hari Jumaat. 2) Hendaklah didirikan jumaat itu dalam bangunan yang dibina dalam Q...