Thursday, July 30, 2026

Berdikit-dikit dalam ilmu


Nafsu nak banyak tak pernah bawa kebaikan. Ada sahaja bahana yang menyusul. Allah menela takathur dalam perkara dunia. dalam perkara akhirat juga tidak seharusnya takathur. Demikian juga dalam soal ilmu. Soal hafal Quran misalnya, jangan terlalu banyak. Sedikit-sedikit adalah lebih baik. 


Ibn Abdul Bar menyebutkan:

الحفظ أكثر ما يكون مع التقليل

Maksudnya:

"Kekuatan hafalan biasanya paling baik dicapai melalui sedikit demi sedikit (dalam mengambil ilmu)."


Wazir Abu Hubairah adda menyatakan:


من آفة التعليم إكثاره حتى تعجز القلوب عن أن تعيه 

Maksudnya:

"Antara bencana dalam proses pengajaran ialah terlalu banyak menyampaikan ilmu sehingga hati tidak lagi mampu memahaminya dan menghayatinya."


Imam al-Khatib al-Baghdadi menyebut dalam Al-Jāmiʿ li Akhlāq al-Rāwī bahawa sebahagian salaf berkata:


من طلب العلم جملة فاته جملة


"Maksudnya: Barang siapa menuntut ilmu secara sekaligus (tergesa-gesa), nescaya banyak bahagiannya akan terlepas."





Sunday, July 26, 2026

Zuhud terhadap kepimpinan, alangkah susah!

 Kata Imam Az-Zuhri:


ما رأينا الزهد في شيء أقل منه في الرياسة، نرى الرجل يزهد في المطعم والمشرب والمال، فإذا نوزع الرياسة حامى عليها وعادى.


Maksudnya:

"Kami tidak melihat sifat zuhud pada sesuatu yang lebih sedikit daripada zuhud terhadap kepimpinan. Kami melihat seseorang itu mampu bersikap zuhud terhadap makanan, minuman dan harta. Namun apabila kepimpinannya dipertikaikan atau dicabar, dia akan mempertahankannya bersungguh-sungguh dan memusuhi orang yang mencabarnya."


Sebab itu kita lihat ada orang, walau sudah kaya, dia masih mengintai peluang untuk jadi pemimpin dengan cara terjun dalam pergelutan politik. Kalau difikirkan, apalah guna lagi pening pasal politik. Sudah kaya cukuplah. Harta yang ada makan 7 keturunan tak habis.

Namun, ironinya, walaupun harta sudah melimpah ruah, sang jutawan masih mahu jadi pemimpin politik!

Ini kerana nafsu terhadap Al-Jah ( pangkat/ sanjungan manusia) itu lebih besar.

Maka, Imam Az- Zuhri menekankan tentang hakikat zuhud. Zuhud sebenar yang sukar dicapai adalah zuhud terhadap Al-Jah. Seorang ulama besar boleh kelihatan zuhud terhadap harta , makan minum, pakaian dan sebaginya. Tetapi, apakah dia sanggup hilang sanjungan pengikutnya? Inilah titik utama yang jadi punca perselisihan kalangan ulama sepanjang sejarah.

Bercakap pasal persaingan antara para ulama, kita melihat bagaimana ia menjadi sengit dan memanas dalam satu-satu masa. Ini juga sejenis penyakit yang membatalkan kezuhudan. Mahu mengalahkan saingan dalam dunia ilmu adalah sejenis hubburriyasah. Cintakan kepimpinan. Kepimpinan dalam bidang ilmu. 

Hubburruyasah adalah termasuk dalam Hubbul Jah!

Adalah Khalid bin Ma'dan itu, apabila halaqahnya makin ramai orang, dia bangkit dan pergi kerana tidak menyukai kemasyhuran!

Abu Al-'Aliyah, apabila duduk dalam majlisnya lebih daripada 4 orang, dia bangun beredar

Baca: Shamela

Friday, July 24, 2026

Syeikh Madyan bukanlah Nabi Syu'aib

Seorang Syeikh yang tinggal di Madyan dan Nabi Musa bertemu dengannya sertya berkahwin dengan puterinya, itu bukanlah Nabi Syuaib. Inilah tahqiq yang dibuat oleh para Muhaqqiqun seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Ibn Kathir dan lain-lain. Alasan yang dinayatakan adalah seperti berikut:

a) Tempoh masa yang jauh antara zaman Nabi Syuaib dan zamana Nabi Musa.

b) Terdapat pendapat sebahagian sahabat dalam Athar bahawa nama lelaki tua itu adalah Yathirun atau Athirun, iaitu anak saudara kepada Nabi Syuaib. Namun tiada nas yang jelas Quran mauopun hadis Saheh tentang namanya atau kenabiannya. Maka apa yang pasti dia adalah Syeikh Madyan.

c) Memang pendapat yang masyhur mengatakan dia adalah Nabi Syuaib, tetapi pendapat itu, walaupun masyhur, ia adalah daif kerana tiada sebarang dalil yang boleh disandarkan. Golongan yang mengatakan dia adalah Syuaib mendakwa bahawa Allah berikan umur yang panjang kepada Syuaib. 

Pun begitu, dakwaan mengatakan dia adalah Nabi Allah Syu'aib amat janggal kerana Nabi Syuaib hidup pada masa yang tidak jauh dari zaman Nabi Lut. Nabi Lut itu sezaman dengan Nabi Ibrahim dan dia sendiri adalah anak saudara Nabi Ibrahim. 

Allah berfirman dalam Al-Quran menceritakan perkataan Nabi Syuaib kepada kaumnya:

وَمَا قَوْمُ لُوطٍ مِنْكُمْ بِبَعِيدٍ

" Dan tidaklah kaum Kaum Lut itu jauh I(zamanya dan tempatnya) dari kalian".
(Surah Hud: 89)

Dari zuriat Nabi Ibrahim itu lahirnya Nabi Ishak. Dia menjaid tua dan anak anak namanya Ya'akob. Ya'akob juga menjadi tua dan melahirkan keturunan bani Israil. Masa panjang sekali, dan anak-anak nabi Ya'kob dewasa dan tua. Nabi Musa lahir dan hidup di Mesir pada zaman pasca Nabi Yusuf. Natara Nabi Yusuf ke masa nabi Musa juga lama. Hadis 'Ajuz bani Israil menjadi satu dalil betapa zaman Musa itu adalah lama bergenerasi dari zaman meninggalnya Nabi Yusuf.

Bagaimana boleh dikatakan Nabi Syuaib masioh hidup sampai zaman Nabi Musa?


d) Jika diterima pendapat yang mengatakan lelaki tua Madyan ituy Nabi Syuaib, maka hendaklah difahami bahawa Kaum Madyan itu telah dibinasakan oleh Allah SWT kecuali yang beriman bersama Syuaib. Jika benar dia nabi Syu'aib dan dua gadis itu adalah anaknya, bagaimana mungkin sanggup ornafg-orang sekeliling membiarkan dua gadis itu tidak dapat memberi minum kambing mereka sehingga ada orang asing (Musa) yang datang membantu? Ini tak masuk akal. Orang yang selamat bersama nabi Syuaib, masakan mengabaikan anak peempuan Nabi Syuaib??






Saturday, July 4, 2026

Tiada manusia sempurna


 وَمَنْ ذَا الَّذِي تُرْضَى سَجَايَاهُ كُلُّهَا؟

كَفَى الْمَرْءَ نُبْلًا أَنْ تُعَدَّ مَعَايِبُهُ

 

"Siapakah orang yang semua sifatnya dapat memuaskan hati manusia? Cukuplah seseorang itu dianggap mulia apabila kelemahannya masih boleh dihitung."


Setiap orang ada sahaja kesalahannya. Camkan itu baik-baik. Jika anda mencari orang yang tidak ada cacat celanya, anda akan menemui kegagalan sampai ke akhir hayat. Ulama hebat sekalipun , ada sahaja kekurangannya. Kekurangan itu, jangan jadikan sebab anda menafikan seluruh sumbangannya. 

Ali Al-Madini seorang tokoh hadis ulung. Ada orang mengkritiknya kerana tidak mengambil pendirian sebagaimana Imam Ahmad dalam peristiwa Khalqul Quran. Namun bila ditanya kepada Imam Ahmad,  beliau berkata :


"Tidak ada orang yang lebih alim dalam ilmu hadis melebihi Ali ibn Al-Madini"


Jika seseorang itu boleh disebut dan dibilang kesalahannya, itulah satu kemuliaan. Ada orang tidak dapat dibilang kecacatannya saking banyaknya. Hargailah seorang yang anda temui satu dua kekuaranganya dan anggaplah itu lumrah manusiawi. Mujur hanya ada sepuluh kesalahan. Mujur ada seratus kekurangan. Selagi boleh dibilang, mujurlah. Bagaimana jika kesalahan itu tidak terpermanai banyaknya?

Berdikit-dikit dalam ilmu

Nafsu nak banyak tak pernah bawa kebaikan. Ada sahaja bahana yang menyusul. Allah menela takathur dalam perkara dunia. dalam perkara akhirat...