Saturday, January 21, 2023

Iblis masuk syurga??

Di sebutkan dalam kitab Al-Yawaqit Wal Jawahir Jil 1 Ms 20 (Karya Abdul Wahab Sya'rani (Meninggal 973H) ) satu naqal daripada Ibn Arabi bahawa menjadi akidah Ahlus Sunnah, Allah SWT itu tidak wajib atasNya satu apapun. Lalu diceritakan kisah pertemuan Sahal bin Abdullah Al-Tustari dengan Iblis Laknatullah 'Alaih. Maka dalam pertemuan itu berlaku hujat menghujat antara keduanya. Isunya berkaitan rahmat Allah yang meliputi segala sesuatu sebagaimana difirman Allah SWT dalam Al-Quran, Surah Al-A'raf ayat 156:


وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

" Dan rahmatku meliputi SEGALA SESUATU".

Iblis mengatakan bahawa dia adalah "sesuatu". Maka apa dalilnya bahawa dia tidak mendapat rahmat Allah? Adakah satu pengecualian yang mengeluarkan dia dari keluasan rahmat Allah SWT itu? Hujah Iblis membuat Sahal bin Abdullah Al-Tustari kelu pada mulanya dan cuba mencari dalil yang tidak memasukkan Iblis dalam keumuman ayat itu. 

Lalu, dia berhujah dengan ayat sesudahnya yang berbunyi:


فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

"Maka akan aku tetapkan ia buat orang-orang yang bertakwa dan yang mengeluarkan zakat serta beriman dengan ayat-ayat kami".

Iblis menempelak Sahal bin Abdullah dengan mengatakan sifat yang disebutkan dalam ayat itu adalah sifat makhluk dan bukan sifat Allah. (Makusdnya sifat Allah yang luas rahmatnya atas segala sesuatu tidak dikhususkan). Hujah sang Iblis itu buat Sahal hilang kata dan mati kutu dan tidak pernah punya hujjah lagi untuk menetapkan Iblis terkeluar dari rahmat Allah SWT. Ibn Arabi pun mengatakan kisah Sahal itu membuatkannya berubah fikiran sebelumnya yang menghukumkan Iblis dengan satu hukuman (terlaknat), maka difahaminya bahawa Allah tidak berhajat kepada makhluk dan Dia tidak diwajibkan dengan sebarang kewajiban. Maka tidak wajib atasnya memasukkan Iblis itu ke  dalam neraka!


Komentar Penulis:

Sekilas menghayati cetusan ilmu sufi ini, kita mungkin tertarik dan boleh jadi turut percaya. Tetapi, rujukan kita adalah apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW tentang iblis. Perkataan orang lain, semuanya tidak boleh diandalkan. Mungkin benar, mungkin khilaf. Nabi SAW berdakwah selama 23 tahun mengajak orang beriman agar berlindung daripada tipudaya Iblis. Baginda melaknat Iblis sampai baginda wafat. Baginda ajarkan kita doa-doa melindungkan diri daripada Iblis. Tiba-tiba ada orang kemudian yang mengaku orang Islam dan ummat nabi, kata Iblis mungkin dalam rahmat Allah. Mereka berandalkan apa yang faham dari teks berdasarkan LADUNNI, Kasyaf, Ilham dan mimpi Tok Wali.


Sebenarnya Hallaj sendiri pernah mengatakan bahawa Iblis adalah "SANG MUWAHIID AGONG". Kenapa? Ianya adalah kerana ketika dia diperintahkan sujud kepada Adam, dia enggan. Dia tidak mahu sujud kerana SUJUD itu hanya buat Allah. Orang yang sujud kepada selain Allah, bagaimana hendak mengekalkan ketauhidannya? Demi mempertahankan ketulinan tauhidnya, Iblis enggan sujud. Padahal para malaikat sujud semuanya. Mereka gagal dalam ujian ketauhidan itu dan iblis telah berjaya. Maka layaklah dia disebut Muwahhid Agong. Yakni makhluk yang paling sempurna tauhidnya.


CATATAN TAMBAHAN:


Sahal bin Abdullah Al-Tustari adalah seorang tokoh sufi ahli sunnah yang hidup pada kurun ke-3 H. Kata Ibn Al-Athir, beliau lahir pada tahun 200H atau 201H di Tustar, satu bandar yang terletak dalam negeri Iran hari ini.Beliau telah meninggalkan Tustar dan menghuni Basrah kerana orang-orang di Tustar menuduhnya menjadi akfir atas beberapa perkataannya. Dia pernah berkata :

التوبة فريضة على العبد مع كل نفس


Ibn Al-Jauzi merekodkan bahawa Sahal bin Abdullah Al-Tustari pernah menceritakan bahawa para malaikat , jin dan syaitan telah hadir di depannya dan dia bercakap dengan mereka. Lalu, perkataannya itu diingkari oleh penduduk Basrah dan menyebutkan keburukan atasnya. Lalu, dia dihalau keluar dari Basrah.


Begitulah cabarannya. Namun, ulama-ulama kemudian memuji dengan sebutan yang baik. Umpamanya, Ibn Taimiyyah sendiri, sebagai tokoh yang banyak mengkritik aliran sufi dan tokohnya, memuji manhaj dan akidah Sahal bin Abdullah Al-Tustari.


Mungkin, sebahagian yang dinisbatkan kepada Sahal itu adalah pembohongan orang ke atasnya.




No comments:

Post a Comment

KAFA'AH DAN BANI HASHIM

 Yang namanya BANI HASHIM itu adalah keturunan kepada anak-anak lelaki Hasyim bin Abdul Manaf Bin Qusai, Datuk Nabi SAW. Penetapan ini per...