Friday, November 20, 2026

MENGENAL PASTI HADIS MAUDHUK MENURUT IBN AL-QAYYIM

 Ibn Qayyim menulis satu kutab bertajuk:


نَقْدُ الْمَنْقُولِ وَالْمَحَكُّ الْمُمَيِّزُ بَيْنَ الْمَرْدُودِ وَالْمَقْبُولِ

“Penilaian terhadap Riwayat yang Dinukilkan dan Neraca Pemutus yang Membezakan antara Riwayat yang Ditolak dengan Riwayat yang Diterima.


Kitab نقد المنقول والمحك المميز بين المردود والمقبول karya Ibn al-Qayyim (w. 751H) mempunyai metodologi yang agak menarik. Ia bukan sekadar menghimpunkan hadis-hadis palsu, tetapi cuba membina kaedah dan neraca untuk mengenal pasti hadis yang tertolak berdasarkan penelitian terhadap kandungan matannya.

Sebenarnya, kitab ini juga dikenali dengan judul:

المنار المنيف في الصحيح والضعيف

Kedua-duanya merujuk kepada karya yang sama.

Antara persoalan yang menjadi asas penulisan kitab ini ialah:

هل يمكن معرفة الحديث الموضوع بضابط دون أن ينظر في سنده؟

Adakah mungkin mengenal pasti hadis palsu melalui suatu kaedah tertentu tanpa perlu melihat sanadnya?

Ibn al-Qayyim menjawab persoalan ini dengan mengemukakan beberapa prinsip umum dan tanda-tanda yang boleh digunakan untuk mengesan hadis palsu.

Ini penting kerana beliau mahu menunjukkan bahawa penelitian hadis bukan hanya bergantung kepada sanad. Matan juga mempunyai neraca penilaian tersendiri.

Beliau menggunakan pendekatan yang boleh disebut sebagai:

النقد بمعرفة العلامات والقرائن

Kritikan melalui pengenalpastian tanda-tanda dan petunjuk.

Antara yang disenaraikan ialah:

  1. Janji pahala atau ancaman dosa yang terlalu melampau dan tidak munasabah.
  2. Kandungan hadis bercanggah dengan perkara yang dapat dipastikan melalui pancaindera.
  3. Kandungan atau susunan hadis terlalu buruk dan janggal sehingga tidak menyerupai tutur kata Rasulullah SAW.(  سماجة الحديث  )
  4. Bercanggah dengan nas al-Quran yang jelas.
  5. Bercanggah dengan hadis sahih yang telah sabit.
  6. Bercanggah dengan fakta sejarah yang telah dipastikan.

Ibn al-Qayyim tidak menjadikan sesuatu perkara yang kelihatan pelik sebagai alasan automatik untuk menolak hadis.Sebaliknya, beliau membandingkan kandungan hadis dengan sumber-sumber yang lebih kukuh.Antaranya:

  • Nas al-Quran.
  • Sunnah Rasulullah SAW yang sahih.
  • Hakikat sejarah yang telah diketahui.
  • Prinsip-prinsip agama yang telah ditetapkan.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa beliau menggunakan kaedah perbandingan dan penilaian kritis terhadap matan.

Selepas mengemukakan kaedah umum, beliau mengaplikasikannya kepada pelbagai kelompok hadis. Antara tajuk yang dibincangkan:

1.Hadis-hadis berkaitan kelebihan Asyura

2.Hadis-hadis kelebihan surah-surah al-Quran

3.Hadis palsu mengenai kelebihan Abu Bakar RA4Hadis palsu mengenai kelebihan Ali RA

5.Hadis palsu mengenai Muawiyah bin Abi Sufyan RA

6.Hadis palsu mengenai manaqib Abu Hanifah dan al-Syafii

7.Hadis palsu berkaitan ilmu kalam

8.Hadis palsu berkaitan wuduk dan solat

9.Hadis-hadis masyhur yang tidak sahih

Kitab ini sangat menarik kerana Ibn al-Qayyim cuba membina satu disiplin kritikan hadis yang menggabungkan penelitian sanad, penelitian matan, pertimbangan akal dan perbandingan dengan nas-nas syarak.

Baca: Almanarul Munif



No comments:

Post a Comment

MENGENAL PASTI HADIS MAUDHUK MENURUT IBN AL-QAYYIM

 Ibn Qayyim menulis satu kutab bertajuk: نَقْدُ الْمَنْقُولِ وَالْمَحَكُّ الْمُمَيِّزُ بَيْنَ الْمَرْدُودِ وَالْمَقْبُولِ “Penilaian terhada...