Friday, September 22, 2023

MAKNA ULIL AMRI

 Istilah Ulil Amri  membawa maksud tertentu dan ada beberapa pandangan ulama yang suka untuk saya angkat dalam penulisan ringkas ini:

1) Syeikh Muhammad Abduh mengatakan bahawa Ulil Amri pada zaman ini(zaman beliau) adalah ulama-ulama besar, ketua-ketua tentera, para hakim, tokoh-tokoh bidang perniagaan, pertanian, penggerak kebajikan rakyat, pemimpin pertubuhan dan syarikat, ketua-ketua parti, penulis-penulis besar, dan doktor pakar serta peguam-peguam yang kesemuanya masyarakat mengambil manfaat daripada mereka serta menjadi pihak penyelesai masalah.

2) Syeikh Muhammad Syaltut menakrifkan Ulil Amri itu sebagai Ahli Nazor yang dikenali kalangan masyarakat sebagai pakar dalam bidangnya. Bidang-bidang dalam kehidupan itu pelbagai. Ada bidang ketenteraan, ekonomi, siasah, agama dan seumpamanya. Dalam setiap bidang itu ada pakarnya. Maka pakar itulah yang dinamakan Ulil Amri.

3) Kata Rasyid Ridha, Ulil Amri itu adalah orang yang ahli dalam sesuatu ilmu dan punya kedudukan tinggi dalam satu-satu bidang.Mereka adalah para cendikiawan yang cukup menguasai bidang ilmunya dan pandangannya menjadi rujukan umum.

Pandangan-pandangan di atas mempunyai satu persamaan iaitu, seorang yang berada dalam satu bidang dan menonjol sebagai penguasa bidang tersebut, dialah Ulil Amri bagai ornag yang terjun ke bidang itu. Kita ambil contoh kisah nabi Musa dan Nabi Khidir. Dalam perjalanan yang diladeni oleh nabi Musa mengikut nabi Khidr, siapakah Ilil Amrinya. Adakah Musa? Dia Rasul dan Khidir itu adalah nabi sahaja( Mengikut pandangan majoriti ulama). Kalau ikut pangkat, Musalah yang layak diangkat sebagai Ulil Amri sebab dia Rasul. Manakan sama Nabi dengan Rasul. Namun, dalam perjalanan pengembaraan itu, Nabi Khidir adalah Ulil Amri yang wajib ditaati Musa.Apa yang diperintahkan Nabi Khidir, nabi Musa perlu taat. Itulah yang disebutkan dalam Quran, Surah Al-Kahfi. Jika kita baca dan fahami kisah ini, kita dapat ambil pelajaran bahawa dalam soal; Ulil Amri, ia terkait dengan bidang dan situasi. 

Maka, satu ulama besar yang menajdi rujukan ummat, katakanlah dia adalah Syeikh Ali Jumu'ah. Tatkala dia datang solat di sebuah masjid di Kampong Syiur Sebatang, dia perlu patuh kepada peraturan masjid tersebut. Imam Masjid itu adalah Ulil Amri dalam konteks pengurusan dan peraturan masjid itu. Berdosalah jika Syeikh Ali Jumua'ah tidak mengikut aturan oleh Ulil Amri Masjid Kampung Nyior Sebatang.

Demikian perlu difahami konsep Ulil Amri.

Ya...Sultan dalam negeri, dia adalah ulil Amri. Namun, andai kata Sultan itu pergi memancing di laut atas kapal milik seornag nelayan, maka pemilik kapal itulah Ulil Amri aktiviti memancing di laut itu. Bukan lagi Sultan yang memerintah negeri!

Dalam sebuah bas, Ulil Amri adalah pemandunya. Jika Perdana Menteri naik bas itu, dia tidak boleh melawan pemandu bas dalam hal kepemanduan. Tidak boleh PM kata kat pemandu bas di jalan selekoh. "Jalan luirus, jangan bengkok!". Apa jadi?? 

Kalangan ulama ada yang menghadkan Istilah Ulil Amri itu kepada para Ulama dan Para Pemimpin Politik( Hukkam). Namun, Ulama diletakkan sebagai Ulil Amri bagi para Hukkam. Kata Ibn Abidin dalam kitabnya Ad-durrul Muhtar fi Raddil Mukhtar.

وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّ أُولِي الْأَمْرِ فِي قَوْله تَعَالَى – {أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ} (النساء 4/59)- هُمْ الْعُلَمَاءُ. لَيْسَ شَيْءٌ أَعَزُّ مِنْ الْعِلْمِ، الْمُلُوكُ حُكَّامٌ عَلَى النَّاسِ، وَالْعُلَمَاءُ حُكَّامٌ عَلَى الْمُلُوكِ. وَفِي مَعْنَاهُ قَوْلُ الشَّاعِرِ: إنَّ الْمُلُوكَ لَيَحْكُمُونَ عَلَى الْوَرَى … وَعَلَى الْمُلُوكِ لَتَحْكُمُ الْعُلَمَا


Ringkas kata, Ulil Amri itu difahami dalam satu kenyataan iaitu:

أصحاب الشأن في كل اختصاص

Ertinya: Tuan punya urusan dalam satu-satu pengkhususan.

Sebab itu, ketaatan kepada Ulil Amri ada syaratnya iaitu hendaklah perintahnya ke arah kebaikan. Jika tidak, tidak wajib taat sebagaimana wajib taat secara mutlak kepada Allah dan Rasul. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 59:

{أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِى الاْمْرِ مِنْكُمْ} (النِّسَاء: 59)


Bacaan Sokongan: Hablullah




No comments:

Post a Comment

Qodariah dan kerencamnya serta hukum buat mereka

Qodariah itu banyak jenisnya. 1) Ada Qodariah yang mengakui Ilmu Allah dan Penulisan Takdir  tetapi menolak Masyi-ah (kehedak Allah) dan Al-...