Saturday, September 24, 2022

SYAITAN ADALAH PENGHULU MUWAHHIDIN?

Allahu akbar!

Apa sikap anda jika anda dengar ada orang  mengatakan makhluk yang paling sempurna ketauhidannya adalah Iblis? Di kala Allah perintahkan dia sujud kepada Adam a.s, dia enggan. Dia tidak mahu sujud kerana  sujud itu adalah sebuah penyembahan. Penyembahan adalah manifestasi tauhid seorang hamba yang sewajibnya hanya buat Khaliq. Iblis hanya mahu sujud kepada Allah SWT dan tidak mahu sujud kepada selainNya!

Itulah tanda kesempurnaan tauhid Iblis. Para malaikat semua yang sujud kepada Adam telah cacat tauhid mereka. Allah perintahkan sujud kepada Adam hanyalah untuk menguji dan Iblis lulus ujian. Maka iblis digelar Saidul Muwahhidin.

Hatta, diceritakan bahawa ketika Iblis berdailog dengan nabi Musa A.S, dia mengatakan bahawa dia di kala Alalh suruh sujud kepada Adam dia enggan. Itu kerana dia bertauhid. Padahal Musa dikala minta untuk lihat Allah, dia melihat ke gunung. Seolah-olahnya teruknya Musa A.S nak dibandingkan dengan Iblis. Nabi Musa "fail" ujian dan Iblis juga yang "pass".

Orang yang menghubung-hubungkan kisah ini dan mencungkil iktibar palsu seperti ini memang kelihatan cerdik. Pintar dan cerdas. Tapi cerdas di luar petunjuk yang benar dari ajaran Nabi SAW. Tiada guna!

Apa sikap anda jika anda dengar ada orang dakwa demikian?

Anda letakkan Iblis itu hina atau mulia?

Kalau sudah diangkat jadi Sayyid, itu sudah satu kemuliaan. Digandingkan pula dengan hal yang paling penting iaitu tauhid.  Maka siapa yang kata demikian, dia dah muliakan Iblis. 

Apakah anda sudi muliakan Iblis atau anda berpendirian Iblis adalah makhluk yang hina?

Siapa yang pernah berkata demikian?

Terdapat manqulat-manqulat yang diabadikan dalam karya pemiliknya perkataan sedemikian. Itulah manqulat perkataan seorang tokoh sufi lagi wa'iz yang diberi nama Abu Al-Futuh Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, abang kepada Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali rahimahullah.

Katanya:

إن إبليس سيد الموحدين , وأنه من لم يتعلم التوحيد من إبليس فهو زنديق , أمِـر أن يسجد لغير الله فأبي


"Sesungguhnya Iblis adalah penghulu segala orang yang bertauhid. Sesungguhnya sesiapa yang tidak ambil ilmu tauhid daripada Iblis, maka dia akan menjadi Zindik. Dia diperintahkan Sujud selain Allah maka enggan ia".

(Rujuk Syarah Nahjul Balaghah oleh Ibn Al-Hadid, Jil 1, ms 107)

Siapakah orang yang beriman yang boleh menelan kata-kata ini?

Seorang Sufi bernama Hallaj mengungkatkan kata-kata memuji Iblis dengan pujian yang tidak ada orang berikan kepada Jbrail sekalipun:

كان أعلمهم بالسجود وأقربهم إلى الموجود , وأوفاهم بالعهود , وأدناهم للمعبود , سجدوا لآدم , وإبليس جحد السجود

Syaitan adalah musuh kita semua. Bila disebut musuh, maka hendaklah kita menjauhinya dan minta Allah lindungkan kita daripadanya. Bukanlah orang yang bersyariat dengan betul kalau tahu bahawa syaitan itu musuh, lalu menyanjungnya.Bahkan lebih pelik kalau menjadikannya sebagai contoh dalam bertauhid!

Lihat bagaimana para penganut Yazidiyyah terpesong dalam soal ini. Mereka sedar kejahatan iblis tetapi mereka mengambil pendekatan memuja iblis agar mereka selamat daripada kejahatannya. Penyimpangan ini kemudiannya mewariskan kepada para pengikut Yazidiyyah penyembahan mutlak kepada Syaitan.

Mula dengan berfalsafah tentang panasnya api kemudian akhirnya bersedap-sedap mendiangkan diri dengan haba api. Begitulah perumpamaannya.

Hubaya!






No comments:

Post a Comment

Dengar Quran atau Nyanyian

Anda mintalah fatwa kepada hanti anda. Bagaiimana kedudukan iman anda. Jika hanti anda, sewaktu dengar nyanyian rasa bahagia dan senang seka...