Aku kerap kali dengar orang mengulang-ulangkan solawat yang dinamakan Solawat Al-Fatih. Ia dibacakan mereka selepas solat atau sebelum berdoa. Entahkan mereka mengamalkannya kerana dengar tentang kelebihan luar biasanya atau hanya sekadar ikut-ikutan? Apakah mungkin mereka yang mengamalkannya itu tahu sejarah terbitnya solawat yang dinamakan Al-Fatih itu?
Solawat Al-Fatih adalah sejenis solawat yang menjadi produk tarikat Tijaniyyah. Tarikat ini diasaskan oleh Ahmad bin Muhammad bin Almukhtar At-Tijani. At-Tijani itu adalah dinisbahkan kepada sebuah kota yang bernama Tujin di Magribi. Ahmad At-Tijani ini dilahirkan tahun 1150H/1737M. Mulanya dia mengikut tarikat Al-Khulwatiyyah. Kemudian, setelah dia menetap di Kota Fas, dia membentuk tarikat sendiri.
Solawat Al-Fatih adalah antara rekaan penting tarikat ini. Kononnya solawat ini dibawakan oleh malaikat kepada Ahmad Tijani dalam lembaran daripada cahaya. Kononnya, amalan ibadat jin , manusia dan malaikat sekaliannya tidak dapat menandingi hebatnya ganjaran pahala membaca solawat ini. Kononnya, baca sekali solawat ini lebih besar pahalanya berbanding baca quran 6 ribu kali. Ia lebih besar ganjaran dari semua zikir yang diungkapkan dalam al-kaun (alam yang meliputi di sekeliling kita).
Bagi peminat solawat Al-Fatih, seharusnya ambil tahu asal muasalnya. Apa kelebihannya yang dikatakan. Lebih penting, apakah ia kelebihan itu satu yang boleh dipercayai? Sampai membacanya lebih hebat daripada baca quran 6 ribu kali! Apakah muslihat di sebalik mengadakan kelebihan seperti ini? Apakah mahu menarik ummat agar baca solawat ini dan meninggalkan Quran. Al-Quran itu kalam Allah, tanpa ragu. Namun para pengikut tarikat Tijaniyyah menulis dalam karangan-karangan mereka perkataan-perkataan Syeikh Ahmad Tijani mengenai kehebatan Solawat Al-Fatih. Mereka menyebutkan bahawa solawat Al-Fatih ini adalah kalam Allah!
Dalam kitab seperti di atas, pada jil 2 muka surat 139, pengarangnya Al-Fauti menyebutkan:
"Dan wajiblah orang yang berzikir dengan solawat ini mengiktikadkan bahawa ia adalah dari kalam Allah".
(Umar bin Said Al-Fauti adalah seorang tokoh dalam tarikat Tijanjiyyah. Beliau juga terkenal sebagai tokoh pejuang Senegal dalam melawan hagemoni penjajah Prancis, Pertugis dan Belanda. Masyarakat di negera-negara Afrika seperti Chad, Mali, Senegal dan lain-lain memeluk Islam melalui penyertaan dalam tarikat. Tarikat adalah jambatan untuk masuk ke dalam Islam. Tarikat Tijaniyyah dan Qodiriyyah adalah antara tarikat yang tersebar di sana. Pada masa penjajah bermaharajalela di sana, maka penyertaan dalam tarikat menjadi medium dakwah dan gerakan kebangkitan rakyat. Antara tokoh tarikat yang berjuang melawan penjajah ialah Umar bin Said Al-Fauti yang dipanggil sebagai Khalifah Al-Muslimin. Beliau mengasaskan daulah Massena.
Berkenaan tariqat Tijani ini, dalam kitab Al-Fikr As-Sufi, oleh Abd Rahman Abd Khaliq, disenaraikan beberapa perkara yang menjadi pokok persoalan mengenai kemustaqiman tarikat ini di atas jalan sunnah nabi SAW:
1) Keyakinan mereka terhadap wuhdatul wujud dan kesatuan agama-agama( Liberalisma agama)
-Lihat Jawahirul Ma'ani oleh Ahmad bin Harazim (penulis terkenal dalam tarikat Tijani)
2) Melebihkan solawat fatih di atas Al-Quran.
-Lihat Jawahirul Ma'ani Jil 1 ms 94- baca sekali Solawat Al-Fatih lebih baik dari baca 6 ribu kali Quran Al-Karim.
3) Dakwaan bahawa pengikut tarikat Tijani akan masuk syurga walaupun ahli maksiat.
4) Dakwaan bertemu Rasulullah secara Yaqazah dan mengambil ilmu dan ajaran daripadanya.
5) Kemelampauan dalam tawassul dan istighasah kepada kubur dan wali-wali keramat.
6) Mengangkat diri oleh Ahmad Tijani di atas semua para wali.
7) Zikir-zikir rekaan( Seperti zikir JAUHARATUL KAMAL)
Bagi penggemar solawat Al-Fatih, perlulah kenal dahulu tarikat Tijaniyyah dan segala kepincangan di dalamnya. Hendaklah mengkaji dan membaca sumber-sumber dalam tarikat itu sendiri atau merujuk kepada bahan-bahan yang telah dikeluarkan oleh para ahli dalam kajian . Kita tidak boleh menjadi burung tiung yang tidak mengerti apa yang dibicarakan. Fikiran kita hendaklah sentiasa aktif dan mencari kebenaran. Kita tidak mahu beragama dengan agama yang berbaur keruh di muara. Kita perlu sentiasa menoleh sejauh mungkin agama ini hatta ke zaman nabi dan para sahabat. Kita perlu menela'ah rantaian para ulama yang terpercaya di kalangan ummat ini.
Ingatlah ...di wilayah utara Afrika itu, telah lahir pelbagai aliran sepanjang sejarah. Kelihatannya, buminya subur untuk para dajjal yang menyesatkan. Selamatlah siapa yang selamat dan sesatlah siapa yang sesat. Cuba baca tentang ajaran nabi palsu di sana yang bernama Saleh bin tarif. Demikian juga Hamin Ibn Mannallah. Betapa ajaran khawarij Sofariyyah pernah bersiponggang di sana. Betapa sukarnya sunnah nabi ditegakkan di sana pada zaman Murabitun. Dakwah di sana sentiasa berdepan dengan cabaran.
Jangan mudah tertarikh dengan cerita muluk dari Maghribi!
No comments:
Post a Comment