Friday, November 10, 2023

Apakah jatuh kafir orang yang mengaku sebagai Imam Mahdi?

Ada ramai sekali yang mengakui atau yang dianggap sebagai Al-Mahdi. Jumlahnya tidak terhitung dari zaman dahulu hingga zaman sekarang. 

Di kalangan Syiah Imam 12, Muhammad bin Hasan Askari dianggap sebagai Imam Mahdi. Dia dikatakan hilang dalam sirdab( gua) sejak tahun 260H. Di sisi Syiah Imam 12, dia adalah imam ke-12 dan akan muncul di akhir zaman. Sehingga kini, telah lebih 1000 tahun dia hilang dalam sirdab.

Abdullah bin Saba' pernah mendakwa Saidina Ali sebagai Al-Mahdi Muntazor.

Muhammad bin Ubaid As-Tsaqafi pernah mendakwa bahawa Muhammad bin Al-Hanafiah, anak Saidina Ali , sebagai Imam Mahdi Al-Muntazor. Dakwaan tersebut kemudiannya jadi pegangan golongan Syiah Kaisaniyyah.

Pada masa Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur Al-Abbasi, muncul gerakan penentangan golongan 'Alawiyyin yang dipimpin oleh Muhammad bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali (Digelar An-Nafsu Az-Zakiyyah).Beliau dianggap sebagai Al-Mahdi, namun kemudiannya mati terbunuh dalam peperangan.

Ada seorang namanya Ubaidillah bin Maimun Al-Qoddah , dia mengakui sebagai Al-Mahdi dan menubuhkan kerajaan di Afrika Utara dan kemudiannya menjadi Kerajaan Fatimiyyah di Mesir. Dia mengaku keturunan Fatimah puteri Rasulullah, padahal para ulama menisbahkannya kepada keturunan Yahudi.

Ada pula seorang yang bernama Muhammad bin Ubaidillah Al-Barbari (Ibn Tumart), muncul di Maghribi dan para pengikutnya dinamakan Muwahhidun. Mereka membina kerajaan yang dinamakan dengan nama itu dan menumbangkan kerajaan Murabitun. Dia mengaku dan dipercayai pengikutnya sebagai Al-Mahdi. Dia memerangi pihak yang mendustakannya dan membunuh ramai orang .Banyak ekzaliman yang dilakukannya.

Ada seorang Ahli Sufi asal Sudan bernama Muhammad Ahmad bin Abdullah As-Sudani mengaku sebagai Mahdi. Ramai para syeikh berdatangan kepadanuya. Dia mengatakan sesiapa yang menafikan kemahdiannya, maka dia kafir. Dia meninggal pada tahun  1885M=1302H.

Tahun 1979, muncul aksi oleh Juhaiman Al-Otaibi di kota Mekah. Dia menawan para jemaah haji dalam Masjidil Haram dan mendakwa adik iparnya yang diberi nama Muhammad bin Abdullah Al-Qahtani sebagai Imam Al-Mahdi. Dia mengajak orang untuk membai'ahnya. Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengambil tindakan membanteras kumpulan tersebut dan dalam upaya itu, terbunuhlah Muhammad bin Abdullah Al-Qohtani.

Macam-macam alasan untuk mewajarkan dakwaan mereka. 

Umpamanya ada seorang di zaman sekarang ini namanya Ahmad bin Ibrahim mengakui Imam Mahdi. Bila dipersoalkan tentang namanya yang tidak selari dengan apa yang dikhabarkan dalam hadis, lalau dikatakan nama Ahmad dan Muhammad adalah sama. Adapun nama Ibrahim sebagai ayah adalah sama dengan nama Abadullah kerana Ibrahim adalah datuk nenek kepada nabi Muhammad SAW.

Beberapa tahun lepas sehingga sekarang, ada seorang di Pakistan, namanya Muhammad Qasim didakwa sebagai Imam Mahdi. Dia menceritakan mimpi-mimpinya yang menyampaikan pesan kepada orang ramai. Para pendokongnya yang percaya kepadanya, menubuhkan kumpulan yang dinamakan GAZA( Gerakan Akhir Zaman). Ramai juga orang Indonesia yang mengangkat beliau sebagai Al-Mahdi.

Di Mesir, ramai juga muncul orang yang mengaku sebagai Imam Mahdi. Ada yang merupakan guru, pemandu teksi dan ada yang seorang Azhari. 

Pada tahun 2000 ada 3 orang  yang mengaku sebagai Imam Mahdi. Ada seorang namanya Muhammad Abdun Nabi Uwais, dari Sinai. Dia menulis buku menjelaskan pengajarannya. Pada akhirnya, dia dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Dalam tahun 2000 itu juga muncul seorang yang bermazhab Hanafi dari Bursaid.mengaku sebagai Al-Mahdi. Lalu ditangkap polis. Kemudian, ada pula seorang yang dinamakan Ahmad Abdul Mutajalli dari Kota Ismailiyyah mengaku sebagai Al-Mahdi. Dia mampu mengeluarkan jin dari badan orang.

Pihak Polis Mesir juga telah menangkap seorang warga Mesir di Iskandariah yang bernama Muhammad Mahmud yang mengaku sebagai Al-Mahdi Al-Muntazor. Lalu keluarganya mengesahkan bahawa dia mengalami gangguan jiwa.  

Di Iskandariah juga pernah muncul  seorang pembuat roti yang bernama Asyraf Abdul Hamid mendakwa dirinya seabagi Al-Mahdi.

Ramai lagi di Mesir sahaja yang mengakui diri sebagai Al-Mahdi.

Di Malaysia pun tidak kurang. Paling menonjol adalah dakwaan Abuya Ashaari bahawa gurunnya Syeikh Suhaimi yang sudah mati, akan muncul kembali sebagai Al-Mahdi.

Menanggapi semua dakwaan kemahdian tersebut, tidak pernah ada ulama yang menjatuhkan hukum kafir serta keluar daripada Islam terhadap mereka yang mengakui sebagai Imam Mahdi. Ia mungkin jatuh kepada pendustaan yang dikira dosa besar tetapi tidak sampai kepada keluar dari millah.

Namun, lain halnya jika ada yang mengaku sebagai آabi Isa. Mengaku nabi adalah menjatuhkan diri ke dalam kekafiran yang keluar daripada millah. Ini kerana orang yang mengaku nabi, secara tak langsuing mengakui dirinya menerima wahyu dari Allah SWT secara dusta. Perbuatan berdusta atas Allah adalah kafir.  Sedangkan Allah SWT telah menegaskan dalam Al-Quran:


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ وَمَنْ قَالَ سَأُنْزِلُ مِثْلَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوا أَنْفُسَكُمُ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنْتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ [الأنعام: 93]


Sungguhpun dakwaan sebagai Al-Mahdi itu terbit dari sifat jahil atau silap tanggapan konsep Al-Mahdi, keadaan itu adalah lebih baik daripada Al-Mahdi Syiah yang ditunggu-tunggu. Al-Mahdi mereka yang hilang ghuyub dalam sirdab. Kepercayaan Al-Mahdi Syiah lebih parah berbanding mempercaya Al-Mahdi palsu yang muncul sepanjang zaman. Bahana daripadanya tidak seteruk bahana mempercayaai Al-Mahdi versi Syiah itu.

Rujuk: Islamweb

Bacaan Tambahan: Islamqa

No comments:

Post a Comment

Sebab nama Aisyah banyak disebut dalam turath Sunni

 Turath Syiah banyak menyebut dan menyanjung Khadijah r.a , namun nama Aisyah r.a dihilangkan bahkan jika disebutkan pun Aisyah r.a, ia dise...